CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Wednesday, June 01, 2011

Aku dan tarbiyyah

Salam wrb,

Beberapa kali berbicara tentang tarbiyyah bersama rakan di sekolah ku mengingatkan semula tentang saat-saat awal aku menerima tarbiyyah dalam hidupku. Sejak kecil sehinggalah aku berumur 21 tahun, hidupku hanya untuk diriku, ibu bapaku dan rakan-rakan sekelilingku. Jarang sekali terlintas dimindaku untuk hidup kerana Allah. Walaupun alhamdulillah sejak kecil sudah dididik agar istiqamah dalam menunaikan solat 5 waktu, membaca Al-Quran, berpuasa namun ku akui ketika itu jiwaku masih kosong. Jiwa yang masih mengharapkan redha manusia dan seperti remaja lain tentu sekali mengharapkan kasih manusia. Kini andai kuselak laman diariku yang ditulis sebelum diri ditarbiyyah, aku turut berasa malu akan siapa aku pada masa dulu.

Kemudian ditakdirkan Allah, aku dihantar ke bumi kanggaru untuk melanjutkan pelajaran. Hati mana yang tidak girang apabila dapat melancong secara percuma. Tanggungjawabku hanya satu: belajar, belajar, belajar dan pastikan duit rakyat yang digunakan untuk menyara hidupku di sana tidak disia-siakan begitu sahaja. Maka pada beberapa bulan pertama, aku dan beberapa sahabatku menggunakan peluang yang ada untuk meneroka bumi Brisbane: berjalan di taman, makan di kedai pencake, pergi ke stadium menonton footy dan macam-macam lagi.

Kemudian ditakdirkan kami bertemu dengan beberapa orang kakak. MasyaAllah semuanya baik-baik belaka. Diajak kami membaca yasin bersama pada malam khamis sambil dihidangkan makanan yang enak-enak. Kadang-kala diajak keluar ke tempat-tempat yang tidak sampai andai kami budak-budak baru mahu pergi sendiri. Sedikit demi sedikit aku di'pancing' untuk mengenali apa itu Islam dan apa itu erti seorang mukmin yang sebenar. Ketika itu aku disapa oleh tarbiyyah. Baju yang pada mulanya hanya menutupi punggung, dilabuhkan lagi hingga ke lutut. Tudung yang dahulunya jarang dan kecil, ditukar agar tidak jarang dan selebar-lebar alam. Malah ada yang mula berdung cendawan (cendawan pun cendawan lah yang penting Allah redha). Kalau dahulu boleh bercanda dengan kaum adam, kami sedikit menjauhkan diri daripada kaum adam. Itu dan banyak lagi. Ini kerana bodohlah aku andai terus larut dalam jahiliyah ku walaupun setelah aku sedar mengapakah semua hukum Allah itu bersebab dan untuk kebaikan hamba-hambaNya. Bukan ku mengatakan diriku begitu suci, malah hakikatnya sangat banyak lagi yang perlu diperbaiki pada diri ini.

Aku mempelajari kemanisan berukhuwwah. Aku mempelajari erti ukhuwwah yang bukan didapati daripada buku namun dari erti pengalaman hidup sebenar. Aku mula mengerti hidupku bukan hanya untuk mendapatkan cinta dari si adam malah lebih dari itu, cintaku sepatutnya hanya kepada Allah dan RasulNya. Aku mengenali apa itu mengamalkan Islam, apa itu bekerja untuk Islam dan lebih mengenali kekasihku, Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat yang memperjuangkan kebangkitan Islam. Ketika itu aku turut menyedari betapa seluruh alam sujud kepada Allah hanya kita manusia yang takabbur dan bongkak sering lupa kepada pencipta kita dan sebab utama kita diciptakan.

Masa terus berlalu, tahun pertama dan kedua yang manis ketika mengenali tarbiyyah berlalu. Masuk tahun ketiga, keempat pelbagai ujian yang diberikan oleh Allah. Ada masaku futur, ada masa imanku menaik. Sesuailah dengan fitrah iman itu, bagai air yang menggelegak. Ada masa turun, ada masa naik. Kini setelah lima tahun ditarbiyyah, tahap imanku masih naik dan turun ke pelbagai tahap. Menyedari masa terus berlalu. Pengalaman hidup turut bertambah. Pelbagai asam garam kehidupan aku pelajari. Seringkali Allah memberikan sesuatu untuk mengajarkan kepadaku erti sabar, syukur dan redha. Adakala aku tergelincir, adakala diriku terbabas. Pernah juga hati dilukai dan melukai. Namun alhamdulillah, Allah masih menetapkan daku di jalan ini.

Doaku padamu Ya Allah, janganlah Engkau melepaskan ku daripada jalan Mu ini. Doaku kepada semua diluar sana agar Allah memberikan kefahaman tentang Islam yang sebenar kepada semua umat manusia. Agar kita mengenali siapakah Allah dan agama yang diturunkan kepada kita, umat akhir zaman. Dan harapku agar aku tetap thabat dalam menyelusuri jalan ini.

4 comments:

Umm Khadeejah said...

Ameen :-)

Madam Afifah said...

(^_^) jzkk

Nurul Saqinah bt Abdul Razak said...

jzkk kak pah for sharing.I could really relate to those feelings...
moga Allah terus mengikat hati kita utk terus thabat di jalanNya.amin..

Madam Afifah said...

ameen, semoga tetap thabat juge saqinah dearie!