CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Sunday, August 02, 2009

Ujian....

Salam wrb,

Kita seringkali mengeluh apabila dilanda pelbagai ujian. Kadang-kala terasa berat untuk melalui hari-hari mendatang. Kadang-kala terasa "isk, mampukah aku?". Ujian oh ujian. Yang paling kritikal sekali ialah apabila kita tenggelam di dalam masalah kita hingga tidak nampak perkara yang berlalu dan berlaku disekeliling kita.

Namun begitu, kita seringkali terlupa bahawa ujian itu menandakan Allah masih menyayangi diri kita. Secara fitrahnya, manusia akan kembali kepada penciptanya setiap kali dirinya dikelubungi pelbagai masalah. Terutamanya apabila terasa seperti tiada penyelesaian dalam menghadapi masalah tersebut. Orang-orang yang beriman yakin bahawa setiap ujian yang diberikan oleh Allah kepada dirinya adalah dalam kemampuannya. Oleh itu, dia akan yakin, walau segelap mana pun jalan yang dilalui pasti akan ada jalan keluar. Cuma yang tidak pastinya ialah manakah jalan keluar itu. Di situlah datangnya pengembalian diri kepada Allah. Kita pasti tidak akan jemu berdoa semoga Allah menunjukkan jalan keluar dan penyelesaian terhadap kemelut yang dihadapi itu.

Apa yang pasti ialah apabila Allah mengurniakan mehnah kepada diri, sebenarnya Allah rindukan hambaNya. Allah rindukan tangisan dan rintihan dari hamba-hambaNya. Oleh itu, salah satu cara untuk 'memanggil' semula hambaNya ialah dengan melemparkan pelbagai ujian. Bersyukurlah kerana diberi ujian dalam keimanan. Maka dengan mudah hati akan kembali kepada Tuhan. Sweetkan Allah... Apabila kita jauh maka dipanggil agar kita kembali kepadaNya.

Aku akui dalam banyak-banyak tarbiyyah ku lalui paling sukar untukku didik ialah hatiku. Hati ini sepatutnya dipenuhkan dengan kasih dan cintaNya. Hati ini sepatutnya dikembalikan kepadaNya. Hati ini sepatutnya milikNya sepenuhnya. Hati ini juga sepatutnya menjadi bejana keimanan. Hati ini juga sepatutnya lembut agar setiap ujian yang dilalui dapat ditampung bukannya keras: apabila menerima ujian ianya 'pecah hancur berkecai'. Setelah diserahkan segalanya kepada Allah maka barulah yang segalanya akan berlaku kerana-NYA. Dari situlah akan timbul rasa redha akan setiap ujian yang diberikan. Dari situ jugalah akan timbul rasa berbaik sangka kepada penciptanya. Dari hati ini jugalah akan muncul rasa tenang biar sejuta masalah yang melanda kerana yakin kasih sayang dan rahmat kasih Allah akan memberi kekuatan dikala diri dibelenggu masalah.

Maka ketika dirimu dibelenggu dengan pelbagai masalah kembalilah kepada pencipta kita. Walaupun belum tentu lagi masalah itu akan selesai dengan namun segera namun pengharapan kepadaNya akan menjadi sumber kekuatan dalam menghadapi segala ujian. Seandainya perkara yang diharapkan tidak terjadi, adalah hikmah disebaliknya. Pasti ada sebab mengapa perkara tersebut tidak menjadi seperti yang kita harapkan. Dikala itu pasti hati akan merasa sedih namun Allah pasti akan menggantinya dengan yang lebih baik kerana Allah tidak akan sekali-kali mengambil sesuatu daripada diri kita melainkan untuk menggantinya dengan sesuatu yang lebih baik. Bersangka baik dengan Allah itu juga kunci penerimaan setiap ketentuanNya. Dan yang pasti Allah masih menyayangi dirimu kerana dipanggil semula agar kembali kepadaNya. Maka sayangilah Allah dengan sepenuh hati insyaAllah, Allah akan melimpahkan kasih-sayang makhluk ke atas dirimu. Kembalilah kepada Allah.

1 comments:

Timah said...

"Bersangka baik dengan Allah itu juga kunci penerimaan setiap ketentuanNya"

-agree!