Ditakdirkan Allah, cita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke UK tidak kesampaian. Malah diri dicampakkan ke bumi kangaru untuk menggapai cita-cita menggenggam segulung ijazah. Ku melihat sahabat-sahabat yang bakal terbang ke bumi yang sama, tidak seorang pun yang rapat denganku baik di kelas dan di dorm. Air mata hampir menitis apabila diumumkan bahawa diri 'hanya' akan ke bumi Brisbane.
Namun, aturan Allah itu maha indah. Siapa tahu, di bumi yang kusangka tidak best itu, ketemui sahabat-sahabat yang sehingga kini rapat denganku. Siapa sangka, di bumi itu, Allah memberikan hidayah dan kefahaman yang ku bawa ke mana-mana dan menjadi penguat diri di kala diri lalai dan alpa.
Aku berkenalan dengan beberapa istilah baru: akhawat, dakwah, tarbiyyah, ukhuwwah, ithar, muslim for life dan banyak lagi.Terlalu ironi. Di bumi yang dikatakan negara Islam kefahaman ku hanya sekadar menjadi seorang abid, di bumi yang Islam itu asing Allah memberi lebih dari itu. Bermula dengan satu soalan "Apa yang fifa fikir bila tengok laut?" diikuti dengan pelbagai siri 'ceramah', 'outing', gathering dan banyak lagi... identiti diri terukir semula. Di tika itu, begitu tinggi mujahadah mengikis karat-karat jahiliyah.
Kemudian sekembalinya ke Brisbane, setiap petang kami berkumpul untuk mendengar tazkirah ringkas dari sahabat-sahabat. Biarlah ia ringkas, namun cukup untuk menghilangkan dahaga dan menyegarkan iman. Aktiviti mingguan bersama akhawat seperti rehlah, outing, berkumpul untuk majlis-majlis ilmu dan sebagainya.
Namun, ianya bukanlah semata-mata kering untuk ilmu, hubungan menjadi basah. Ukhuwwah terjalin. Hubungan hati tercipta. Pelbagai ujian ukhuwwah melanda. Ujian Allah untuk membersihkan hati-hati kita. Kemudian, Allah menarik balik insan-insan yang menjadi tempat bersandar untuk kita membina kekuatan diri. Untuk mengajar bahawa sandaran hanya kepada Allah semata-mata.
Akhawatku, semua itu bermula pada perjumpaan musim sejuk 2006. Kini musim sejuk sudah menjelma kembali. Maka meningkatlah usia tarbiyyah kita. Baru enam tahun berjalan di jalan ini. Masih jauh perjalanan kita. Di dalam kesibukan dunia ini, ingatkah dikau akan semangat berkobar-kobar kita untuk menjadi insan yang lebih baik? Macam jauh kan... masihkah semangat itu berkobar dalam hatimu?
Tidak salah untuk mengimbau memori, jika ia mengingatkan kita untuk menjadi HambaNya yang lebih baik. Terlalu banyak yang berubah. Dari seorang sudah berdua. Yang berdua sudah bertiga. Yang mengajar di seberang, sudah kembali ke semenanjung. Yang dekat tapi tidak bertemu. Yang jauh tetapi sentiasa dekat di hati.
Doaku semoga kita tetap utuh dengan kefahaman yang terpahat di dalam hati kita. Kerana akhirnya kita akan berdiri di hadapan Allah untuk menjawab akan setiap perbuatan dan amal kita di dunia ini. Kadang-kadang teringin kembali ke masa lalu. Pada masa hati terasa lebih baik dari sekarang. Namun walau apa pun yang terjadi detik tetap berlalu. Musim terus berubah. Kita pun turut sama berubah mengikut musim dan arus kehidupan.
Doaku lagi, semoga kefahaman ini terus menolak kita untuk terus ke hadapan. Sentiasa berkobar-kobar untuk menjadi seperti 'kita' enam tahun lalu ketika diri di ketuk dengan sebuah kefahaman yang 'berat' ini.
Semoga akhirnya kita bertemu di jannah. Dengan wajah yang berseri-seri atas kejayaan kita menempuh ujian kehidupan. Tetapi untuk kejayaan itu, perlukan mujahadah yang tinggi di tempat persinggahan ini. Semoga kita sering ingat-mengingatkan akan kehidupan yang abadi itu nanti.
Akhir kata, rindukan kalian fillah. Semoga kasih Allah sentiasa mengiringi setiap langkahmu.

0 comments:
Post a Comment